Tourism
Malaysia dan Firefly telah bekerjasama untuk mempromosikan Tahun Melawat
Malaysia (TMM) 2014 di rantau ini melalui paparan pengiklanan pada pesawat
Firefly yang telah dilancarkan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia
Dato’ Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz, di Lapangan Terbang Sultan Ismail
Petra, di sini, hari ini.
“Kami
gembira dapat bekerjasama dengan Firefly untuk meluaskan lagi promosi kempen
TMM 2014 di pasaran domestik dan negara-negara ASEAN yang lain,” kata Dato’
Seri Mohamed Nazri.
Kempen
pengiklanan yang dijalankan selama setahun ini merangkumi paparan logo TMM dan
tema “Celebrating 1Malaysia Truly Asia” di bahagian luar badan 12 buah pesawat
Firefly jenis ATR 72-600.
Sementara
itu, bahagian dalam pesawat dihiasi dengan gambar-gambar tarikan pelancongan di
Malaysia
seperti kebudayaan dan makanan, pantai-pantai peranginan, dan destinasi
ekopelancongan.
Logo
TMM juga dipaparkan pada dinding kabin di bahagian depan dan belakang pesawat
manakala risalah kalendar pelancongan utama Tourism Malaysia diletakkan di poket tempat
duduk penumpang.
Syarikat
penerbangan komuniti Firefly menerbangkan seramai 126,000 penumpang setiap
bulan dan kempen pengiklanan ini dijangka akan dapat disebarkan kepada seramai
1.5 juta penumpang setahun menerusi penerbangan di Malaysia, Singapura,
Thailand, dan Indonesia.
Ketua
Pegawai Eksekutif Firefly Ignatius Ong berkata, “Kami gembira kerana dapat
sama-sama menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2014. Firefly memberi perkhidmatan
kepada pasaran yang khusus dan memenuhi kehendak pelancong dalam dan luar
negara daripada segi laluan penerbangan dan tambang yang murah. Kami percaya
bahawa pelancaran kempen pengiklanan Tahun Melawat Malaysia 2014 pada pesawat
turboprop kami pastinya akan dapat membantu memenuhi agenda kerajaan untuk
meningkatkan kedatangan pelancong sekaligus merangsang pertumbuhan industri
pelancongan negara”.
Kempen
pengiklanan TMM 2014 bersama-sama Firefly merupakan sebahagian daripada usaha
kerajaan untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama
sejajar dengan Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia yang mensasarkan
kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan pelancongan
sebanyak RM168 bilion pada tahun 2020.
Source:-Tourism
Malaysia